Khamis, 15 November 2018 | 9:06pm

Lima penyamun pasar raya diburu

PERMAISURI: Polis memburu lima penjenayah bertopeng bersenjatakan dua bilah parang yang menyamun sebuah pasar raya di Bandar Permaisuri, di sini, hari ini, membabitkan kerugian RM200,000.

Suspek dipercayai memecah masuk pasar raya berkenaan melalui pintu jeriji belakang kira-kira jam 1 pagi tadi sebelum menebuk tiga peti besi manakala satu lagi peti diumpil.

Ketika kejadian, seorang pengawal keselamatan berusia 49 tahun yang sedang bertugas turut diikat dengan mulutnya ditutup dan mangsa hanya dapat melepaskan diri pada jam 3.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mohd Deris, berkata sebaik menyerbu masuk ke dalam premis, suspek bertindak mengikat pengawal keselamatan bertugas.

Beliau berkata, suspek kemudian menebuk tiga peti besi dan mengumpil satu lagi peti sebelum melarikan wang tunai dianggarkan bernilai RM200,000.

“Mangsa hanya dapat melepaskan diri kira-kira tiga jam kemudian sebelum dia menghubungi majikan bagi memaklumkan kejadian.

“Majikan mangsa kemudian menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Zulkifli berkata, siasatan mendapati suspek dipercayai warga asing berdasarkan pertuturan mereka ketika melakukan jenayah.

Katanya, pemeriksaan juga mendapati pasar raya itu tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem penggera keselamatan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata,” katanya.

472 dibaca
Berita Harian X