Khamis, 15 November 2018 | 12:21pm
DADAH jenis syabu yang disorok didalam bekas gula getah dirampas dari suspek yang ditahan di Kampung Sayung, Jalan Pandaruan, Limbang. - Foto ihsan PDRM

Tak serik jual 'ice'

LIMBANG: Walaupun sudah dua kali ditahan polis, seorang penganggur masih tidak serik mengedar dadah di daerah ini.

Kegiatan lelaki berusia 31 tahun itu sekali lagi dihidu polis sebelum ditahan untuk kali ketiga di Kampung Sayung, Jalan Pandaruan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd Bukhori Saffai, berkata suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Limbang jam 10.45 pagi.

Katanya, pemeriksaan lanjut di dalam beg sandang dibawa suspek menemui satu bekas gula getah yang mengandungi 15 plastik lutsinar serbuk kristal dipercayai syabu.

Beliau berkata, serbuk kristal seberat 8.72 gram dianggarkan bernilai RM1,500 siap untuk dijual kepada penagih tempatan.

“Suspek mengakui dadah yang dirampas akan dijual kepada penagih sekitar daerah ini dan bekalan dadah itu diperoleh dari pengedar tempatan.

Suspek sebelum ini sudah dua kali ditahan polis dan kini dalam proses perbicaraan di mahkamah atas kesalahan dadah,” katanya kepada NSTP, di sini hari ini.

Mohd Bukhori berkata, ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X