Khamis, 15 November 2018 | 8:17am
ANGGOTA bomba dan penyelamat mengangkat mayat Ahmad Muhaimin Mohd Abdul Razip, 13, yang ditemui lemas ketika mandi di tali air Kampung Padang Air, Kuala Nerus. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply

Pelajar lemas di tali air

KUALA NERUS: Pelajar Maahad Tahfiz Darul Iman ditemui lemas ketika mandi di tali air Kampung Padang Air, di sini, petang semalam.

Mangsa, Ahmad Muhaimin Mohd Abdul Razip, 13, dari Kampung Padang Nenas, dekat sini sebelum itu mandi bersama enam rakannya sebelum dilaporkan lemas kira-kira jam 6 petang.

Mayat mangsa ditemui pasukan penyelamat pada jam 9.20 malam di dasar tali air kira-kira 20 meter dari lokasi dia dilaporkan lemas.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Bomba Mohd Mazimi Mohamad, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 6.02 petang.

Beliau berkata, seramai 25 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu dan Kuala Nerus bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

“Keadaan air yang deras serta hujan lebat dan cuaca yang semakin gelap menyukarkan operasi mencari dan menyelamat.

“Kita menggunakan teknik pencarian di permukaan air sebelum berjaya menemui mayat mangsa

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu bagi proses bedah siasat,” katanya.

Difahamkan, mangsa dan rakan-rakannya sudah biasa mandi di kawasan berkenaan.

Operasi sama turut dibantu polis dan penduduk kampung.

750 dibaca
Berita Harian X