Rabu, 14 November 2018 | 11:31am
MANGSA maut dipercayai ditikam seorang lelaki menggunakan serpihan botol kaca dalam kejadian di sebuah kedai makan. - Ihsan PDRM

Gelandangan maut ditikam dengan serpihan kaca

GELANG PATAH: Seorang gelandangan maut dipercayai ditikam seorang lelaki menggunakan serpihan botol kaca dalam kejadian di sebuah kedai makan berhadapan stesen minyak di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, K Chandrasegran, 36, yang hanya bekerja menjual kotak dan membantu membuang sampah kedai makan ditemui maut dengan kesan tikaman di leher sepanjang empat sentimeter (cm).

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa lelaki itu sedang tidur di atas meja di tempat kejadian sebelum suspek datang dan mengejutkannya.

KETUA Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

“Seorang saksi yang berniaga di kedai makan nampak suspek dan mangsa kemudian pergi ke kedai sebelah dan tiba-tiba dia terdengar bunyi benda pecah dan nampak mangsa berdarah di leher.

“Suspek dikatakan tidak melarikan diri dan cuma mundar-mandir di kawasan kedai, malah menurut saksi, tiada orang lain ketika kejadian dan hanya mangsa serta suspek sahaja,” katanya.

Menurut Dzulkhairi, mangsa sudah kira-kira dua tahun tidur di kawasan kedai dan tidak pernah mengganggu sesiapa, namun kadang kala mangsa mabuk.

Katanya, menurut saksi, dia tidak pernah nampak suspek sebelum ini dan hanya melihatnya datang kira-kira jam 3 pagi di kawasan itu ketika saksi hendak memulakan perniagaan.

Dzulkhairi berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai ditikam di bahagian lehernya menggunakan botol kaca yang dipecahkan dan punca kejadian dipercayai kerana perselisihan faham dan mangsa dalam keadaan mabuk.

Beliau berkata, suspek lelaki warga Indonesia berusia 24 tahun yang bekerja sebagai jurukimpal itu kemudian ditahan orang awam dan diserahkan kepada anggota polis.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X