Selasa, 13 November 2018 | 6:53pm
TIMBALAN Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim. - Foto Khairull Azry Bidin

PDRM bantu KPWKM pantau pusat asuhan, pengasuh persendirian

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membantu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memantau pusat asuhan kanak-kanak di seluruh negara termasuk pengasuh persendirian.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata PDRM akan menggunakan segala sumber yang ada dalam PDRM termasuk pasukan Skuad Aman Wanita (AMANITA) untuk melaksanakan tugas itu.

“Kita ada kemampuan kerana polis ada di merata tempat dan kita sudah beritahu kepada Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ibrahim), kita akan gunakan resources (sumber), pasukan AMANITA kita di lapangan.

“Pertama sekali, kita mahu buat survey (bancian) berapa banyak pusat bimbingan (pusat asuhan) yang halal (berdaftar) dan haram (tidak berdaftar),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena lawatan kerja Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, ke Bahagian Siasatan Seksual, Keganasan Rumahtangga dan Penderaan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, di sini hari ini.

Kata Noor Rashid, ini termasuk melakukan pemantauan ke atas pengasuh persendirian yang beroperasi di kawasan kediaman dan jelas tidak berdaftar.

“Kita tahu tentang kewujudan mereka...kita sedang berbincang dengan pihak pihak kementerian berhubung tindakan selanjutnya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian mengulas berhubung kes bayi maut akibat didera ketika dalam jagaan pengasuh dengan kes terbaru membabitkan bayi perempuan berusia 11 bulan yang meninggal dunia di Hospital Serdang, Jumaat lalu dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuhnya.

Ditanya sama ada polis boleh menyediakan kemudahan kepada ibu bapa yang mahu membuat memeriksa latar belakang pengasuh, Noor Rashid berkata pihak polis bersedia membantu untuk tujuan itu, namun perlu syarat tertentu.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan ibu bapa turut boleh diambil tindakan mengikut Akta Perlindungan Kanak-kanak 2001 sekiranya terbukti berlaku kecuaian yang ketara sehingga menyebabkan anak mereka terdedah dengan penderaan oleh pengasuh.

Bagaimanapun, katanya, terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk memutuskan perkara itu kerana ia bergantung kepada hasil siasatan dan kriteria tertentu.

Berita Harian X