Selasa, 13 November 2018 | 2:33pm
PENGARAH Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak, Razim Mohd Noor. - Foto Mohd Radzi Bujang

SPRM siasat pemilihan Cabang Julau

KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak menubuhkan pasukan siasatan berhubung kontroversi proses pemilihan PKR Cabang Julau.

Pengarahnya, Razim Mohd Noor, berkata ia susulan beberapa laporan salah laku, termasuk penipuan dan pembelian undi yang diterima pihaknya ketika proses pengundian berlangsung di cabang berkenaan pada 10 November lalu.

Katanya, pasukan penyiasatan berkenaan dianggotai pegawai SPRM Sarawak dan perkembangan siasatan akan dilaporkan kepada ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

"

Ya, kami sedang meneliti perkara itu berdasarkan beberapa laporan yang diterima SPRM Sarawak sebelum ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Razim berkata, SPRM Sarawak sebelum ini sudah melakukan pemantauan ke atas PKR Cabang Julau namun dihentikan sementara waktu pada minggu lalu bagi memberi ruang kepada PKR Sarawak mengadakan pemilihan parti.

Pada masa sama, Razim turut memberi jaminan akan menyiasat secara terperinci mengenai dakwaan rasuah pemilihan PKR Cabang Julau.

Beliau mengesahkan pihaknya menerima laporan serta bukti daripada Ketua Penerangan PKR Sarawak, Vernon Aji Kedit, semalam yang akan dijadikan sebagai bukti kepada kes berkenaan.

"SPRM Sarawak memandang serius dan akan menyiasat sepenuhnya kes ini tanpa ada kompromi," katanya.

Vernon semalam tampil kali kedua membuat laporan kepada SPRM Sarawak berhubung salah laku pemilihan PKR Cabang Julau, dengan kali ini mengemukakan bukti lebih kukuh yang terkandung di dalam satu ‘thumb drive’.

Pemilihan Cabang Julau sebelum ini panas berikutan penambahan ahli yang mencurigakan dari 603 kepada 13,000 ahli dalam tempoh sehari Jun lalu.

Namun, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR hari ini mengesahkan tiada sebarang pengundian semula akan diadakan di Cabang Julau walaupun terdapat dakwaan sistem e-undi digodam pada Sabtu lalu.

Pengerusi JPP, Datuk Rashid Din, berkata hasil analisa kiraan undi mendapati semua data pengundian selamat dan berjaya dimuat naik ke pelayan sistem.

527 dibaca
Berita Harian X