Selasa, 13 November 2018 | 10:28am

Kerani akaun rugi RM120,000 diperdaya sindiket Macau Scam

KEPALA BATAS: Panik dan berada dalam ketakutan menyebabkan seorang kerani akaun mengalami kerugian RM120,000 akibat ditipu dan terpedaya dengan sindiket Macau Scam, semalam.

Mangsa seorang lelaki berusia 39 tahun menerima panggilan telefon kononnya daripada pihak Mahkamah yang meminta dia hadir untuk perbicaraan kes.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada seorang lelaki memperkenalkan dirinya sebagai sarjan yang memaklumkan mangsa mempunyai kes penggubahan wang haram.

“Sarjan itu memberitahu mangsa yang mana kes ini masih dalam siasatan dan meminta tidak memaklumkan kepada sesiapa memandangkan mangsa adalah suspek dalam kes itu serta meminta mangsa memberi kerjasama.

“Kerana berada dalam keadaan panik dan takut, mangsa tanpa berfikir panjang terus membuat pemindahan wang dari akaun simpanan miliknya ke akaun bank yang diberikan bagi membolehkan transaksi ke dalam akaun bank seperti diarahkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, mangsa juga turut membuat beberapa kali pemindahan wang di cawangan bank yang berdekatan dalam tempoh satu minggu.

“Mangsa melakukan lima transaksi pemindahan wang ke dalam empat akaun bank yang berlainan, hanya dalam masa tujuh hari yang membabitkan jumlah keseluruhan RM 120,000.00.

“Mangsa bertindak sedemikian apabila dimaklumkan bahawa kesemua wangnya adalah tujuan siasatan dan wang itu akan dipindahkan kepada pihak Juru Audit Negara,” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa akhirnya sedar bahawa dia sudah tertipu dan terus membuat laporan polis untuk siasatan.

“Modus operandi yang digunakan suspek sama seperti kes-kes yang berlaku di seluruh negara namun masih ada individu yang ditipu dan diperdaya.

“Jadi, polis menasihati orang ramai supaya tidak sesekali panik apabila menerima panggilan telefon seperti ini sebaliknya menghubungi polis atau organisasi terbabit untuk pengesahan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X