Isnin, 12 November 2018 | 5:19pm
ZUNAR (kanan) bersama peguamnya, Cecil Rajendran hadir di Mahkamah Sesyen Dan Majistret Sivil Pulau Pinang, bagi memfailkan saman berkenaan karyanya yang disita oleh polis semasa membuat pameran pada dua tahun lalu di KOMTAR. - NSTP/Shahhaz Fazlie Shahrizal

Zunar minta karya dipulangkan, tuntut polis memohon maaf

GEORGETOWN: Kartunis antarabangsa, Zulkiflee SM Anwarul Haque, atau lebih popular dengan panggilan Zunar, memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, memohon 10 karyanya yang dirampas polis ketika melakukan pameran di negeri ini dua tahun lalu dipulangkan.

Dalam saman yang difailkan menerusi peguamnya, Cecil Rajendra, Zunar juga meminta pampasan ganti rugi sebanyak RM380,000 untuk masalah tekanan, malu dan kesukaran yang dialaminya selain kehilangan mata pencarian dan penurunan nilai harga karyanya.

Beliau juga meminta pihak polis membuat permohonan maaf secara terbuka atas tindakan tidak adil yang diambil ke atasnya, selain kos ganti rugi.

Zunar menamakan Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Asisten Superintendan Rusli Tipu; Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga.

Ketika ditemui media, Cecil berkata tindakan saman itu diambil selepas polis gagal memulangkan karya anak guamnya walaupun selepas dua tahun.

Katanya, selepas Zunar menerima anugerah berprestij ‘Cartoonist for Peace Award 2016’, beliau dijemput oleh kerajaan negeri untuk mempamerkan karyanya di Pesta Sastera Georgetown 2016.

“Pada 26 November 2016, polis memberkas beliau tanpa alasan munasabah, menyerbu pameran itu di Komtar sebelum merampas 10 panel karya Zunar yang kemudian ditahan.

“Beliau dilayan seperti penjenayah, namun sehingga sekarang tiada pertuduhan dilakukan ke atasnya. Kami menghantar notis tindakan kepada polis Mac tahun ini bagi meminta karya yang dirampas dan permohonan maaf daripada polis, namun dibalas dengan jawapan bahawa kes itu masih disiasat.

“Kami kemudian menghantar semula satu surat kepada polis pada Julai lalu, namun diberitahu bahawa perkara itu masih tertangguh.

“Kami terpaksa ke mahkamah atas kesusahan, kehilangan mata pencarian dan susutnya nilai karya Zunar,” katanya.

Karya Zunar kebanyakannya berkisar mengenai rasuah yang dilakukan pemimpin terdahulu, terutama kontroversi 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Cecil berkata, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan pertuduhan serius di mahkamah berhubung 1MDB, ia menunjukkan bahawa Zunar tidak melampau dalam lukisannya.

“Malah, kegiatan rasuah adalah lebih teruk. Jadi, disebabkan itu, tiada unsur fitnah dalam karya Zunar.

“Beliau adalah artis, bukan ahli politik dan mempunyai hak bersuara yang mana adalah asas kepada seseorang artis.

“Artis seharusnya menjadi ‘watch dog’ (pengawas) untuk masyarakat. Beliau (Zunar) berkongsi apa yang berlaku di dalam negara dengan harapan ia diperbaiki,” katanya.

Sementara itu, Zunar berkata, tiada alasan yang boleh menghentikannya daripada terus berkarya, namun akan menggunakan pendekatan berbeza.

“Sebelum ini, tumpuan utama ialah rasuah. Sekarang, ia lebih kepada membangunkan negara, namun ia tidak bermakna saya tidak akan mengkritik kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya percaya setiap kerajaan di dalam dunia tidak boleh diberikan kebebasan mutlak untuk mentadbir. Ia menjadi tanggungjawab kita untuk mengkritik.

“Sebelum ini, kita membenarkan kerajaan terdahulu melakukan apa saja yang diinginkan mereka, namun kini tidak lagi. Sebagai kartunis, saya semestinya akan mengkritik PH supaya mereka tidak mengulangi kesalahan dilakukan mereka yang terdahulu,” katanya.

Beliau berkata, selepas karyanya dirampas dan dirinya ditahan, banyak kedai buku takut untuk menjual bukunya selain galeri yang bimbang untuk menjemputnya mengadakan pameran sehingga beliau hilang mata pencarian.

Tambah Zunar, beliau menerima jemputan untuk mengadakan pameran di Pulau Pinang selepas disenarai hitam untuk keluar negara sejurus pulang daripada pameran di Geneva pada Jun lalu.

776 dibaca
Berita Harian X