Isnin, 12 November 2018 | 4:50pm
AHMAD Dzaffir ketika sidang media di IPD Kajang, hari ini. - NSTP/Azhar Ramli

Suspek kes dera mula 'buka mulut'

KAJANG: Suspek yang disyaki mendera seorang bayi berusia 11 bulan sehingga maut, 9 November lalu, mendedahkan menguruskan mangsa pada pagi hari kejadian.

Bagaimanapun, lelaki yang juga suami kepada pengasuh bayi berkenaan, sehingga kini enggan membuat pengakuan berhubung kejadian yang menyebabkan tempurung kepala mangsa pecah dan kemaluan serta dubur mangsa koyak.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, beberapa individu sudah dipanggil untuk mengambil keterangan termasuk ahli keluarga, majikan suspek dan semua individu yang mempunyai akses ke rumah pengasuh berkenaan.

“Hari ini lelaki berkenaan mendedahkan dia memandikan dan menukar pakaian mangsa pada pagi hari kejadian berbanding sebelumnya, yang mana dia tidak mahu mendedahkan apa-apa maklumat berhubung kejadian.

“Namun, dia masih tidak membuat pengakuan bertanggungjawab atas punca kematian bayi berkenaan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan akan dijalankan dari semua sudut dengan mengambil keterangan daripada semua pihak seperti ahli keluarga, majikan suspek dan individu yang mempunyai peluang untuk mendekati bayi berkenaan.

Menurut beliau, reman terhadap lelaki berkenaan akan tamat esok dan bakal disambung lagi selain kes akan ditukar kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan berbanding sebelum ini yang disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2002.

“Manakala tempoh reman isterinya yang juga pengasuh mangsa tamat hari ini dan kita memohon untuk melanjutkan tempoh reman selain turut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Akhbar NSTP 12 November lalu melaporkan seorang bayi perempuan berusia 11 bulan, Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal atau mesra dipanggil Zara, meninggal dunia Jumaat lalu selepas dua hari dilaporkan tenat dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuh.

Ahmad Dzaffir dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Serdang, yang menerima bayi berkenaan dalam keadaan tenat untuk rawatan pada Rabu, jam 3.05 petang.

Berita Harian X