Isnin, 12 November 2018 | 7:59am
PUSAT operasi mencari dan menyelamat mangsa yang sesat di hutan berhampiran Air Terjun Sungai Lepoh, Hulu Langat, semalam.

Remaja sesat di hutan berhampiran Air Terjun Sungai Lepoh

HULU LANGAT: Seorang remaja lelaki dilaporkan sesat selepas terpisah dalam kumpulan ketika aktiviti mendaki di hutan berhampiran Air Terjun Sungai Lepoh, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Amirul Rashid Mohd Aminadahallah, 16, dikatakan bersama 40 pelajar dan guru pengiring dalam aktiviti berkenaan sebelum disedari hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tun Hussein Onn Mohamad Akmal Mohamad Khairi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.45 petang, semalam.

“Bagaimanapun, ketika itu, kami juga menerima panggilan kecemasan berhubung kes banjir kilat di sekitar daerah ini dan meminta bantuan daripada BBP Semenyih untuk datang ke lokasi terlebih dulu untuk memberikan bantuan.


ORANG awam turut membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa, Amirul Rashid yang dilaporkan sesat selepas terpisah dalam kumpulan ketika aktiviti mendaki di hutan berhampiran Air Terjun Sungai Lepoh, Hulu Langat, semalam.

“Difahamkan beberapa anggota dari BBP Semenyih bersama satu jentera tiba di lokasi pada jam 5.45 petang, sebelum pasukan kami tiba jam 7.07 malam berikutan kesesakan lalu lintas serta permasalahan banjir.

“Seramai 20 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari BBP Tun Hussein Onn dan BBP Semenyih terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja lelaki berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohamad Akmal berkata, pihaknya dengan kerjasama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pasukan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan orang awam memulakan operasi SAR jam 9.25 malam tadi.

“Seramai 16 anggota termasuk orang awam masuk ke dalam hutan bagi mencari mangsa. Operasi bertumpu di laluan yang mungkin dilalui mangsa termasuk lokasi kali terakhir dia dilihat oleh rakan yang lain.

“Operasi masih diteruskan sehingga kami menemui mangsa. Malah, Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) juga akan dipanggil untuk memperluaskan lokasi pencarian bagi mengesan lokasi mangsa,” katanya.

Berita Harian X