Ahad, 11 November 2018 | 4:59pm

Dadah 104 kg bernilai RM5.2 juta dirampas

TAWAU: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah selepas menahan empat lelaki tempatan termasuk dua beradik serta merampas 104.3 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM5.2 juta dalam dua serbuan di dua lokasi berasingan di sini, tengah hari kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata kejayaan itu dicapai selepas polis mendapat maklumat berhubung aktiviti keempat-empat suspek sebelum merancang serbuan.

Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah diketuai Asisten Superintendan Mohd Ramadzan membuat serbuan pertama di Jalan Haji Karim, belakang Mahkamah Tawau, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Katanya, sebelum serbuan, polis mengesan dua kereta jenis PERODUA Bezza dan PERODUA Myvi dinaiki beberapa individu dipercayai sedang menjalankan urusan pengedaran dadah di lokasi terbabit.

“Seorang suspek lelaki Cina dilihat mengangkat sebuah beg berwarna hitam yang dikeluarkan daripada bonet belakang kereta PERODUA Bezza sebelum dimasukkan ke dalam sebuah lagi kereta (PERODUA Myvi) yang di dalamnya kelihatan dua lelaki Cina.

“Pasukan serbuan kemudian berjaya menahan dua lelaki Cina terbabit manakala seorang suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan oleh anggota polis yang mengepung kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu seorang lagi suspek lelaki Cina disyaki terbabit dengan sindiket pengedaran dadah berkenaan turut ditahan ketika serbuan di hadapan sebuah premis serbaneka 24 jam di Jalan Bunga Off Jalan Masjid, pada jam 12.35 tengahari hari.

“Pemeriksaan terhadap beg berwarna hitam bertulis `Rexcoll’ milik suspek didapati mengandungi 20 bungkusan plastik teh Cina iaitu masing-masing 17 bungkusan plastik teh jenama `Daguanyin’ berwarna emas dan tiga bungkusan plastik teh Cinajenama `Guanyingwang’ yang semuanya berisi dadah jenis Methamphetamine (syabu).

“Turut dirampas sebuah beg yang diletakkan di dalam bonet belakang kereta PERODUA Bezza mengandungi 30 bungkusan plastik teh Cina tiada jenama berwarna emas yang di dalamnya mengandungi ketulan hablur jernih juga disyaki dadah jenis syabu.

“Pemeriksaan lanjut terhadap sebuah lagi kereta jenis Perodua Myvi turut menemui 20 bungkusan plastik yang sama (teh Cina) tiada jenama, lapan bungkusan teh Cina jenama Daguanyin, 22 bungkusan Guanyinwang berwarna hijau yang masing-masing diletakkan di bahagian bonet dan belakang kereta berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti sumber bekalan dadah terbabit dan tidak menolak kemungkinan rampasan dadah terbesar itu adalah untuk pasaran tempatan atau diseludup ke negara jiran.

Turut dirampas dua kenderaan yang disewa suspek untuk tujuan pengedaran dadah, selain menyita wang tunai RM850 dan $380 Dolar Singapura (RM1,152).

Katanya, polis juga percaya rampasan dadah berkenaan ada kaitan dengan sindiket pengedaran dadah di Lahad Datu yang ditumpaskan baru-baru ini yang turut membabitkan suspek warga tempatan.

“Siasatan lanjut juga mendapati seorang suspek mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan dua kes dadah mengikut Seksyen 15(1)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Semua suspek yang berumur antara 31 hingga 39, masing-masing berasal dari Johor dan Selangor itu direman selama tujuh hari bermula 10 semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh (empat dari kiri) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hari ini. - Foto Abdul Rahemang Taiming
Berita Harian X