Jumaat, 9 November 2018 | 3:52pm
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berucap pada program Media Talk JSJ di pejabatnya di Shah Alam, hari ini. - Foto Shahiman Sharip

75.5 peratus suspek jenayah seksual dikenali mangsa

SHAH ALAM: Sebanyak 75.5 peratus kes jenayah seksual kanak-kanak di Selangor dilakukan individu dikenali mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata pemangsa bagi kes itu termasuk mereka yang mempunyai pertalian darah seperti saudara tiri, suami pengasuh, jiran dan teman lelaki.

“Dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, hanya 24.4 peratus kes jenayah seksual itu mendapati mangsa tidak mengenali individu yang melakukannya.

“Sebanyak 333 kes jenayah seksual dilaporkan sepanjang tempoh itu iaitu 138 daripadanya membabitkan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak diikuti 114 kes rogol, 72 kes liwat dan sembilan kes sumbang mahram.

“Jumlah itu menunjukkan peningkatan 46 kes berbanding tahun lalu yang mencatatkan 287 kes,” katanya pada program Media Talk JSJ di pejabatnya di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua JSJ (Risikan/Operasi) negeri, Asisten Komisioner Mohammad Abd Hamid; Pegawai Turus Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11) negeri, Deputi Superintendan Loh Pey Pey dan Pegawai Turus Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5) (Siasatan/Perundangan), Deputi Superintendan Dr Vasu Appu.

Fadzil berkata, statistik itu dijangka meningkat sehingga ke hujung tahun berikutan faktor cuti sekolah akan datang.

“Apabila cuti sekolah, banyak jenayah berlaku terutama membabitkan remaja bawah umur seperti kes curi motosikal dan juga jenayah seksual kerana terlalu banyak masa terluang.

“Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan memantau kegiatan anak-anak supaya mereka tidak terjebak dalam kegiatan itu,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga perlu bersama memikul tanggungjawab bagi mengurangkan statistik berkenaan daripada terus meningkat.

“Antara tindakan awal yang boleh dilakukan iaitu membuat laporan polis dan ia boleh dilakukan oleh sesiapa saja sama ada mangsa, keluarga, saudara mara dan rakan yang mempunyai maklumat mengenai kes jenayah seksual.

“Polis Selangor amat prihatin dan mengambil berat kes jenayah membabitkan kanak-kanak itu dan pelbagai usaha dijalankan untuk menahan, mengumpul maklumat dan membawa suspek ke muka pengadilan,” katanya.

264 dibaca
Berita Harian X