Jumaat, 9 November 2018 | 3:01pm
ZAINUDIN Wahab cedera dilibas dan ditikam oleh lelaki berusia 41 tahun di rumahnya di Persiaran Ampang Saujana, hari ini. - Foto ihsan keluarga mangsa

Lelaki cedera diserang jiran

AMPANG: “Suami terpaksa menerima sembilan jahitan di kepala selain mengalami kecederaan teruk di lengan tangan kanan,” kata isteri Zainudin Wahab, 60, yang menjadi mangsa serangan jiran mereka, kelmarin.

Latifah Alias, 59, berkata suaminya dilibas dan ditikam menggunakan pisau oleh lelaki berusia 41 tahun di kepala dan tangan.

“Saya menyedari kejadian itu kira-kira jam 6 petang apabila mendengar bunyi bising di luar rumah.

“Sebaik membuka pintu rumah, suami sudah berlumuran darah, dalam keadaan panik saya terus hubungi ambulans dan polis.

“Punca kejadian masih tidak diketahui. Saya perlu rujuk dengan suami, dia masih dirawat di Hospital Ampang.

“Suami masih berada dalam keadaan lemah, bila dia bersedia nanti, dia akan ceritakan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Persiaran Ampang Saujana, di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai kesan insiden itu terhadap keluarganya, Latifah berkata mereka masih trauma terhadap apa yang berlaku.

Katanya, sehingga kini, dia masih menggigil memikirkan kejadian itu.

“Suspek itu tinggal di depan rumah saya, walaupun dia sudah ditangkap, kami sekeluarga masih mengambil langkah berjaga-jaga.

“Suspek itu didakwa mempunyai masalah mental dan kad orang kurang upaya (OKU), sebelum ini dia ditahan polis kerana dipercayai terbabit dengan beberapa kes ‘lain’ namun dilepaskan atas ‘tiket’ kad itu.

“Pada masa sama, suspek selalu dilihat menjerit dan bergaduh dengan penduduk sekitar perumahan ini.

“Sebab itu, kami di sini khuatir suspek akan kembali dan menggugat keselamatan keluarga selain masyarakat di sini,” katanya.

Mengulas lanjut, Latifah berkata suspek pernah bertindak ganas dengan memukul anak lelakinya menggunakan tongkat.

“Dua bulan lalu, seorang anak lelaki saya berusia 30 tahun pernah bertengkar dengan suspek sehingga dipukul menggunakan tongkat kerana isu kerusi di bawah blok rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada isteri mangsa kira-kira jam 8 malam, kelmarin.

Berikutan itu, beliau berkata pihaknya menahan seorang lelaki berusia 41 tahun dan merampas satu parang serta dua pisau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata,” katanya.

3843 dibaca
Berita Harian X