Jumaat, 9 November 2018 | 2:01am

Peniaga didakwa menyamar polis

PETALING JAYA : Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyamar sebagai anggota polis dipercayai untuk menipu orang ramai di sebuah restoran di USJ1, di sini, minggu lalu.

Tertuduh, Nik Mohd Faiz Nik Sen, 31, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd Ikhwan Mohd Nasir.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyamar sebagai penjawat awam dengan memperkenalkan diri sebagai anggota polis kepada Deputi Superintendan Allen Yeoh Swee Joe, 59.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran NK Penang Kapitan, USJ 1, Subang Jaya, di sini kira-kira jam 2 petang, 3 November lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Firdaous Mohamed Idris mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Peguam Yusri Yusoff memohon jumlah jaminan minimum dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 November ini untuk sebutan kes.

Difahamkan, Mohd Faiz bertindak menyamar sebagai anggota polis bertujuan untuk menipu orang awam.

Namun, perbuatannya itu berjaya dihidu pihak berkuasa sebelum dia diekori polis.

589 dibaca
Berita Harian X