Jumaat, 9 November 2018 | 1:59am

Bomba selamatkan wanita cuba bunuh diri

JOHOR BAHRU: Khidmat anggota bomba wanita menyelamatkan seorang wanita berusia 22 tahun daripada cubaan bunuh diri dalam kejadian di Perumahan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT ) Flat Melana, di Perling, di sini, tengah hari tadi.

Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Ahmad Nazran Omar berkata, usaha menyelamatkan mangsa dilakukan dua anggota terbabit sejurus pihaknya menerima panggilan pada jam 12.41 tengah hari.

Katanya, dua jentera, sebuah Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) bersama 14 anggota ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan mangsa.

“Kehadiran anggota sejurus menerima panggilan dari orang awam mengenai cubaan membunuh diri seorang wanita di tingkat 11, sebuah flat di Perling.

“Wanita terbabit duduk di atas tembok koridor dalam keadaan kaki terjulur di luar tingkat 11 flat itu,” katanya mengetuai operasi itu.

Katanya, mangsa dipujuk dan ditenangkan dua pegawai bomba wanita.

“Usaha dua anggota bomba wanita itu nyata berjaya memujuk mangsa terbabit dan ditarik ke dalam tingkat itu dari arah belakangnya.

“Wanita itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, motif wanita itu bertindak sedemikian tidak diketahui, selain dia bukan penghuni kediaman terbabit.

“Pegawai bomba wanita yang memujuk dan menenangkan mangsa juga tidak mengetahui puncanya,” katanya.

1005 dibaca
Berita Harian X