Jumaat, 9 November 2018 | 1:56am

Bapa saudara perangai setan

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar Tingkatan Dua menjadi mangsa serangan seksual bapa saudaranya selepas dipaksa memegang kemaluan lelaki terbabit dalam kejadian di Kuala Nerus, Isnin lalu.

Selain itu, remaja perempuan berusia 14 tahun berkenaan diugut bunuh sekiranya dia membuat bising dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam.

Menurut sumber, mangsa yang berseorangan di rumah, didatangi suspek berusia 20-an manakala ahli keluarganya yang lain pergi melawat ibu saudara mangsa yang juga isteri suspek.

Katanya, lelaki berkenaan memberi alasan mahu memberi barang kepada ibu mangsa dan remaja terbabit yang tidak mengesyaki apa-apa membenarkan suspek masuk ke dalam rumah.

“Suspek bertindak mengambil sehelai kain dan menutup mulut anak saudaranya itu sebelum menolak mangsa di sofa yang ada di ruang tamu selain turut mengugut akan membunuh mangsa sekiranya dia membuat bising dan memaksa remaja itu memegang kemaluannya.

“Mangsa enggan menuruti kemahuan bapa saudaranya namun terpaksa akur dan suspek beredar meninggalkan mangsa tidak lama kemudian,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang ketakutan keluar dari rumahnya dan menghubungi bapanya menggunakan telefon orang awam yang ditemuinya di tepi jalan lalu menceritakan perbuatan suspek.

Katanya, susulan kejadian itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Gong Badak keesokan harinya untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membenarkan suspek direman selama tujuh hari sehingga Rabu depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14(B) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

3847 dibaca
Berita Harian X