Khamis, 8 November 2018 | 4:18pm
NAJIB beredar dari Mahkamah Kuala Lumpur untuk ke SPRM Putrajaya pada sebutan semula 17 pertuduhan membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor atas kes pengubahan wang haram dan kegagalan membuat penyata tuntutan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Mahkamah Sesyen Jenayah 9 Kuala Lumpur. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Najib beri keterangan 4 jam di SPRM

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memberi keterangan selama empat jam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Najib dilihat meninggalkan Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 1.50 tengah hari dengan menaiki kereta jenis Proton Perdana selain diiringi dua kenderaan lain.

Terdahulu, beliau tiba di bangunan SPRM pada jam 9.40 pagi selepas menemani isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi tadi bagi mendengar prosiding sebutan kes.

Media sebelum ini difahamkan, Najib dipanggil SPRM bagi membantu siasatan beberapa kes termasuk membabitkan pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak.

Sumber berkata, Najib dipanggil memberi keterangan berkaitan kes solar dan bukannya berkait kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, Najib menerusi laman akaun Twitter pada jam 2.05 petang tadi, menafikan beliau hadir bagi memberi keterangan kes solar sebaliknya hanya dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan.

"Hari ini saya dipanggil SPRM bagi membantu siasatan tetapi bukan berkaitan kes solar," katanya.

Namun, tidak dinyatakan pula beliau dipanggil untuk membantu kes apa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan Najib dikehendaki hadir ke SPRM untuk dirakam keterangan.

1440 dibaca
Berita Harian X