Khamis, 8 November 2018 | 2:28pm
ANGGOTA polis mengangkat mayat lelaki yang ditemui terapung di Sungai Sembulan dekat Sembulan, Kota Kinabalu, malam tadi. - Foto Junaidi Ladjana
ANGGOTA polis mengangkat mayat lelaki yang ditemui terapung di Sungai Sembulan dekat Sembulan, Kota Kinabalu, malam tadi. - Foto Junaidi Ladjana

Mayat dengan beg berisi batu ditemui terapung

KOTA KINABALU: Mayat lelaki dengan beg sandang berisi batu ditemui terapung di Sungai Sembulan dekat Sembulan, di sini, malam tadi.

Mayat itu ditemui oleh orang awam pada jam 9.20 malam sebelum memaklumkan penemuan itu kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata ketika ditemui mayat lelaki dianggarkan berusia 40-an itu memakai seluar panjang kelabu, t-shirt putih berkolar serta beg sandang di bahagian belakang.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat identiti mayat terbabit tetapi dipercayai mangsa berbangsa India berdasarkan warna kulit dan tattoo di lengan kiri dan kanan.

“Siasatan di lokasi kejadian tidak menjumpai sebarang objek mencurigakan. Bagaimanapun, pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati ada kecederaan di bahagian muka dan memakai beg sandang berisi batu, dipercayai digunakan sebagai pemberat agar mayat tidak timbul di permukaan sungai.

“Siasatan lanjut di tempat kejadian juga menunjukkan tidak berlaku sebarang unsur jenayah yang dapat dikaitkan sebagai punca kematian mangsa. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.

Beliau juga meminta ramai yang kehilangan ahli keluarga atau pekerja mengikut seperti ciri-ciri yang terdapat pada mangsa agar menghubungi balai polis berhampiran.

1610 dibaca
Berita Harian X