Rabu, 7 November 2018 | 2:28pm
OMAR Mammah (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan, Kota Kinabalu. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

Dadah lebih setengah juta ringgit dirampas

KOTA KINABALU: Polis menahan tiga lelaki termasuk remaja berusia 15 tahun dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah dalam serbuan di Jalan Tungku, Lahad Datu, pada 2 November lalu.

Serbuan jam 6.30 petang anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu merampas dadah jenis syabu seberat 11 kilogram bernilai RM552,900.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata pihaknya merampas dua kereta Perodua Bezza dan Alza di Jalan Tungku, Lahad Datu dan menahan tiga lelaki disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah.

“Ketika serbuan dijalankan, ketiga-tiga suspek cuba melarikan diri namun gagal selepas kawasan berkenaan dikepung anggota polis.

“Soal siasat ke atas suspek membawa kepada penemuan satu kotak mengandungi 11 plastik warna biru yang disimpan di tempat duduk penumpang belakang kenderaan Isuzu D Max di hadapan sebuah kedai dobi di Jalan Seri Melor Tinggayan, Semporna.

“Setiap plastik berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dianggarkan berat 11 kilogram bernilai RM552,900,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sabah, Superintendan Ahmad Jawila.

Omar berkata, ketiga-tiga suspek berusia 15 hingga 42 tahun dan seorang daripada suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

“Semua dadah yang dirampas dipercayai dibawa masuk dari luar negara dan kita percaya Sabah dijadikan transit sebelum dihantar ke luar negara.

“Kita juga sedang menyiasat sama ada tangkapan ini ada kaitan dengan kejayaan rampasan sebanyak 51.9 kilogram dadah jenis syabu di Lahad Datu, pada 3 Oktober lalu,” katanya.

Semua suspek direman tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X