Rabu, 7 November 2018 | 10:32am
BEBERAPA kawasan di daerah Selangor dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat sejak petang semalam. - Ihsan Twitter Smart Selangor
BEBERAPA kawasan di daerah Selangor dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat sejak petang semalam. - Ihsan Twitter Smart Selangor

3 pusat pemindahan dibuka di Selangor

SHAH ALAM: Beberapa kawasan di daerah Selangor dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat sejak petang semalam.

Smart Selangor Command Centre (SSCC), dalam satu kenyataan, memaklumkan antara kawasan yang terjejas ialah di Klang, Kuala Selangor dan Kuala Langat.

“Di Klang, antara kawasan yang dilanda banjir ialah di Jalan Cempaka, Taman Daya Meru, Jalan Kenangan, Jalan Benteng, Taman Berkat Meru, Jalan Perajurit 1, Jalan Perajurit 2, Kampung Nelayan, Jalan Tengah, Lorong Tali Air, Jalan Keledang dan Jalan Kem.

“Bagi Kuala Langat antara kawasan terjejas ialah Kampung Sungai Buaya, Lorong Siantan, Jalan Tanah Raja. Manakala di Kuala Selangor membabitkan Jalan Persiaran Puncak Alam 6,” menurut kenyataan SSCC hari ini.

Sebanyak tiga pusat pemindahan sementara dibuka bagi menempatkan mangsa yang terjejas akibat banjir.

“Setakat 6.40 pagi ini, seramai 41 orang penduduk membabitkan 12 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields.

“Di Klang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru pula menempatkan 49 mangsa membabitkan 13 keluarga manakala 17 orang penduduk daripada lima keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gong.

“SSCC akan terus memantau dan membuat tindakan susulan tentang kejadian yang berlaku serta menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa kepada penduduk,” katanya.

Sementara itu, paras air laut di beberapa lokasi di Daerah Klang mencecah ketinggian 5.4 meter namun keadaan masih terkawal berikutan fenomena air pasang, hari ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani, berkata pemantauan dibuat dari jam 4 pagi hingga 6.30 pagi dengan paras tertinggi direkodkan pada jam 5.35 pagi dengan ketinggian 5.4 meter serta keadaan terkawal.

“Cuma terdapat limpahan air di Jalan Benteng dan Jalan Kenangan berikutan ban yang dirosakkan oleh penduduk.

“Pada petang ini, kita akan lakukan rondaan sekali lagi dengan paras tertinggi dijangka setinggi 5.0 meter pada jam 5.59 petang.

“Paras air pasang pagi esok akan mencecah 5.4 meter pada jam 6.11 pagi manakala ia dijangka setinggi 5.0 meter apabila air pasang sekali lagi pada jam 6.35 petang,” katanya.

Berita Harian X