Selasa, 6 November 2018 | 11:33pm

Wanita rugi RM10,000 akibat diragut

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga wanita cedera pada dahi dan kerugian lebih RM10,000 akibat diragut di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa yang berusia 36 tahun sedang berjalan kaki di hadapan pusat beli-belah itu sebelum beg tangannya yang mengandungi wang tunai RM300 dan batu jed dianggarkan bernilai RM10,000 diragut seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Superintendan Shaharudin Abdullah, berkata selain wang tunai dan batu jed, mangsa turut kehilangan pelbagai dokumen penting yang disimpan dalam beg tangannya.

“Mangsa diragut sehingga terjatuh menyebabkannya mengalami bengkak dan lebam pada dahi.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan peragut menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC berwarna gelap, bagaimanapun nombor pendaftarannya tidak dapat dipastikan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang memakai jaket dan topi keledar berwarna gelap dilihat menunggang motosikal seorang diri melalui Jalan Raja Chulan menghala ke Pusat Perubatan Prince Court.

“Suspek kemudian dilihat membuat pusingan U sebaik sampai di hadapan mangsa dan terus meragut wanita itu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, polis turut menerima maklumat daripada pihak keselamatan KLCC berhubung satu kejadian ragut di pusat beli-belah itu yang berlaku kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

“Menerusi semakan rakaman CCTV yang dibuat, kita syak ia didalangi oleh suspek sama,” katanya.

Dalam kejadian berasingan, seorang wanita berusia 55 tahun dilaporkan cedera selepas menjadi mangsa ragut di Jalan Raja Chulan berhampiran KL Forest Eco Park (Bukit Nenas), kira-kira jam 6 petang tadi.

Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur yang menerima laporan kejadian itu menghantar sepasukan anggotanya ke lokasi untuk membantu mangsa yang cedera.

Jurucakap APM Kuala Lumpur berkata, mangsa yang mengalami trauma akibat kejadian itu diberi rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, Shaharudin memaklumkan, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian ragut terbaharu itu.

Berita Harian X