Selasa, 6 November 2018 | 10:41pm
KEADAAN tiga kereta terbabit kemalangan maut di Simpang Empat Ulu Sedaka. - Foto IHSAN PEMBACA

2 termasuk bayi maut, 4 parah nahas 3 kereta

YAN: Bayi perempuan berusia 11 bulan dan seorang wanita maut manakala empat parah dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di Simpang Empat Ulu Sedaka, di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar, berkata dalam kejadian jam 3 petang, mangsa yang meninggal dunia adalah penumpang kereta Honda Stream, Dhiaannasha Mohamad Shaiful, 11 bulan, manakala Nurizzatunhusna Mohd Aminudin Bakri, 24, dari Taman Kenari, Kulim, dekat sini adalah penumpang kereta Proton Persona.

"Kemalangan berlaku apabila kereta Proton Persona yang dinaiki Nurizzatunhusna bersama ibu bapanya yang datang dari arah Guar Chempedak menghala ke Pulau Bunting dilanggar kereta Honda Stream dari Ulu Sedaka yang dipercayai tidak berhenti di persimpangan berkenaan.

"Akibat kemalangan itu, kereta Proton Persona itu berpusing manakala kereta Honda Stream terbalik sehingga memasuki laluan yang dilalui oleh kereta Volkswagen Vento yang datang dari arah Selengkoh," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shahnaz berkata, Nurizzatunhusna dipercayai tercampak keluar dari tempat duduk penumpang hadapan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu dan penumpang kereta Proton Persona yang juga ibu bapa, Nurizzatunhusna serta pemandu dan seorang penumpang Honda Stream cedera parah, manakala pemandu Volkswagen Vento tidak mengalami kecederaan.

"Mayat Nurizzatunhusna dan Dhiaannasha dibawa ke Hospital Yan untuk bedah siasat manakala mangsa yang parah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk menerima rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, siasatan masih dilakukan sementara menunggu semua mangsa yang cedera stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian," katanya.

704 dibaca
Berita Harian X