Selasa, 6 November 2018 | 9:20pm
ANGGOTA bomba dan penyelamat mengangkat kanak-kanak lemas di Kampung Limau Nipis. - Foto IHSAN JBPM KELANTAN

Budak 2 tahun lemas

BACHOK: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun lemas apabila terjatuh dalam parit di Kampung Limau Nipis, Melawi, di sini petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.30 petang tadi, mangsa, Nurhasnita Saupi ditemui sejam selepas dilaporkan terjatuh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba, Yus Heary Mahmud, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 4.57 petang dan menemui mangsa kira-kira jam 5.30 petang.

Katanya, mayat kanak-kanak itu ditemui terapung oleh anggota bomba yang melakukan operasi mencari.

“Difahamkan mangsa bermain di kawasan air dan dipercayai terjatuh ke dalam parit berhampiran rumahnya,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Nik Aminuddin Raja Abdullah, berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk bedah siasat.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

189 dibaca
Berita Harian X