Selasa, 6 November 2018 | 4:01pm
BAYI lelaki berusia setahun terkunci di dalam kereta di sebuah klinik di Tangga Batu. - Foto Ihsan Bomba

Bayi terkunci dalam kereta

MELAKA: Seorang bapa cemas apabila bayi lelaki berusia setahun terkunci dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika dia sedang membuat pendaftaran di sebuah klinik, di Tangga Batu, di sini, pagi semalam.

Difahamkan, bapa kepada bayi berkenaan cuba membuka MPV jenis Nissan Grand Livina, namun gagal sebelum menghubungi bomba kira-kira jam 11 pagi.

Bayi terbabit berjaya diselamatkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu yang bertindak mengumpil pengunci kereta menggunakan alat khas.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II BBP Tangga Batu, Ahmad Nyat, berkata sepasukan empat anggota bomba dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 11.05 pagi.

Katanya, ketika kejadian, bapa bayi berusia lingkungan 40-an itu sedang membuat pendaftaran di klinik sementara dua anaknya, masing-masing berusia lingkungan 10 dan satu tahun berada dalam kereta.

“Bagaimanapun, anaknya berusia 10 tahun keluar meninggalkan kereta manakala bayi dikatakan sedang tidur di tempat duduk belakang dan secara tiba-tiba kereta dalam keadaan enjin masih hidup itu terkunci.

“Kami menjalankan operasi bermula jam 11.09 pagi dan berjaya menyelamatkan bayi terbabit dalam tempoh dua minit dengan mengumpil kunci menggunakan cangkuk besi,” katanya.

Berita Harian X