Selasa, 6 November 2018 | 10:16am
KAPAL Diraja (KD) Ledang, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyelamatkan empat nelayan warga Indonesia selepas bot mereka karam di perairan Pulau Jarak di Lumut, semalam. - Foto ihsan TLDM
KAPAL Diraja (KD) Ledang, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyelamatkan empat nelayan warga Indonesia selepas bot mereka karam di perairan Pulau Jarak di Lumut, semalam. - Foto ihsan TLDM

KD Ledang selamatkan 4 nelayan Indonesia

LUMUT: Kapal Diraja (KD) Ledang, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyelamatkan empat nelayan warga Indonesia selepas bot mereka karam di perairan Pulau Jarak di sini, pada jam 6.30 petang semalam.

Bot yang dinaiki seorang tekong dan tiga awak-awak berusia antara 38 dan 42 tahun itu karam selepas terlanggar batu di sekitar pulau berkenaan.

Difahamkan, bot yang dinaiki keempat-empat nelayan asing terbabit sudah rosak di perairan Selat Melaka sejak Khamis lalu dan dihanyutkan sehingga ke perairan Pulau Jarak.

Berikutan itu, bot berkenaan tidak dapat dikawal dan kemudian melanggar batu sebelum karam kira-kira jam 5 pagi semalam, dan empat nelayan itu menyelamatkan diri dan berlindung di Pulau Jarak.

Kejadian itu disedari sepasukan anggota tentera darat yang bertugas di pulau berkenaan dan melaporkannya kepada TLDM untuk bantuan lanjut.

Markas Pemerintahan Armada Barat Pangkalan TLDM Lumut, dalam satu kenyataan, memaklumkan KD Ledang yang sedang melaksanakan Operasi Pejarak menerima maklumat daripada pasukan tentera darat yang bertugas di Pulau Jarak berhubung kejadian itu.

Pusat Operasi Markas Pemerintahan Armada Barat mengarahkan KD Ledang untuk melaksanakan misi bantuan menyelamat mangsa bot karam berkenaan.

“KD Ledang berjaya menyelamatkan empat nelayan mangsa bot karam yang berlindung di Pulau Jarak pada jam 6.30 petang.

“Semua mangsa yang selamat diserahkan kepada Bot Kombat 90 (CB90) untuk dibawa ke Pangkalan TLDM Lumut. Mereka diserahkan kepada pihak polis pada jam 12.40 tengah malam untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Berita Harian X