Isnin, 5 November 2018 | 1:47pm

Ibu tunggal ditahan edar dadah

KUANTAN: Alasan bercerai dan tidak mempunyai pendapatan menyebabkan seorang ibu tunggal mengambil jalan singkat menjadi pengedar dadah.

Aktiviti pengedaran dadah yang dilakukan wanita berusia 31 tahun sejak Februari lalu akhirnya terbongkar selepas dia ditahan di Cherating, dekat sini, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang, Superintendan Lam Thiam Huat, berkata, wanita beranak dua itu ditahan pada jam 4.30 petang ketika sedang memandu Proton Wira Aeroback.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan suspek menemui dadah jenis heroin seberat 42.09 gram dan 1,000 pil kuda seberat 94.75 gram.

“Kita menganggarkan rampasan bernilai RM16,262. Soal siasat dijalankan ke atas suspek mendapati beliau aktif menjalankan kegiatan itu di kawasan peranginan berkenaan,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Katanya, wanita berkenaan turut mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan sama ada suspek mempunyai rangkaian pengedaran dadah lain yang masih bebas.

Katanya, wanita terbabit direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Thiam Huat berkata, sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini sebanyak 250 pemeriksaan dijalankan pihaknya di seluruh Pahang membabitkan 11,560 individu ditahan berkaitan kesalahan dadah.

Katanya, daripada jumlah itu 70 peratus daripada yang ditahan sudah dihadapkan ke mahkamah.

79 dibaca
LAM Thiam Huat (tengah) bersama anggotanya menunjukkan dadah yang dirampas hasil serbuan polis di sekitar daerah pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), Pahang. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Berita Harian X