Isnin, 5 November 2018 | 1:12pm
SUSPEK ditahan selepas menyerang seorang lelaki warga Nepal dengan pisau pemotong kertas di Jalan Makmur, Lunas, malam tadi. - Foto ihsan PDRM

Tak pasal-pasal badan kena toreh

Gambar Ihsan PDRM

KULIM: Hanya kerana meletakkan basikal merata-rata, seorang lelaki warga Nepal parah selepas diserang dengan pisau pemotong kertas di Jalan Makmur, Lunas, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa, Chintulal Majhi, 40, ditoreh dari telinga sehingga pusat oleh seorang lelaki mabuk.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar, berkata siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang meletakkan basikal merata-rata sebelum bertindak menyembunyikan basikal berkenaan.

“Mangsa, seorang pekerja kilang mengesyaki basikalnya disorok oleh suspek yang kemudiannya berjumpa dengan suspek dan bertanya mengenai perkara berkenaan.

“Suspek bagaimanapun tidak mengaku menyembunyikan basikal mangsa sebelum berlaku pertengkaran antara mereka,” katanya.

Ahmad Nasir, berkata suspek yang ketika itu sedang minum arak dan mabuk terus menyerang mangsa menggunakan pisau pemotong kertas dengan cara menoreh bahagian telinga hingga pusat.

“Kejadian itu berlaku di hadapan sebuah kedai runcit dan ada saksi yang melihat kejadian berkenaan.

“Susulan itu, kita menahan suspek berusia 33 tahun yang juga seorang buruh pada jam 11 malam di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Kulim dan keadaannya dilaporkan stabil.

Katanya, sebilah pisau pemotong kertas, sebilah kapak dan serpihan mata pisau turut dirampas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan parah menggunakan senjata.

208 dibaca
Berita Harian X