Ahad, 4 November 2018 | 4:52pm
Himpunan Bantah ICERD di hadapan Masjid Jamek. - Foto Supian Ahmad

Himpunan bantah ICERD berlangsung aman

KUALA LUMPUR: Himpunan Bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Masjid Jamek serta perarakan ke Jalan Tunku Abdul Rahman di sini berlangsung aman dengan dihadiri kira-kira 1,500 peserta.

Himpunan yang bermula pada jam 12 tengah hari itu dihadiri beberapa pimpinan pergerakan pemuda dan badan bukan kerajaan (NGO).

Antara mereka ialah Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Turut sama, wakil Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Peserta perhimpunan kemudian berarak ke Jalan Tunku Abdul Rahman bagi membawa mesej bantahan terhadap ICERD.


Antara peserta yang menyertai himpunan Bantah ICERD yang berarak dari Masjid Jamek menuju ke perkarangan Pusat membeli belah Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman dari. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Mereka dilihat memegang beberapa sepanduk termasuk ‘ICERD adalah Malayan Union 2.0’ dan ‘Jangan Jual Kedaulatan Negara’ sambil melaungkan ‘Bantah ICERD’ serta ‘Allahuakbar’.

Asyraf berkata, perhimpunan berkenaan bukan untuk menentang kaum lain tetapi untuk mengekalkan keharmonian.

“Kehadiran perhimpunan amat membanggakan walaupun hanya empat hari mesej berkenaan perhimpunan disebarkan.

“Perhimpunan ini adalah untuk membawa mesej keharmonian seluruh kaum,” katanya ketika ditemui selepas tamat perhimpunan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah, berkata perhimpunan berkenaan berjalan dengan aman tanpa sebarang provokasi.


Beberapa peserta dilihat mengangkat sepanduk ketika menyertai Himpunan Bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) anjuran Pemuda UMNO dan Dewan Pemuda PAS Pusat di Masjid Jamek hari ini. - Foto BERNAMA

“Pihak penganjur mendengar arahan daripada polis dan kita benarkan mereka berarak dari Masjid Jamek ke Jalan Tunku Abdul Rahman.

“Kita tidak menerima sebarang notis untuk mengadakan perhimpunan berkenaan daripada pihak penganjur tetapi menerima maklumat menerusi media sosial,” katanya.

Katanya, pihaknya akan memanggil penganjur perhimpunan berkenaan dalam masa terdekat.

“Polis akan panggil penganjur perhimpunan berkenaan untuk diambil keterangan. Pihak kami juga berjaya mengawal keadaan dan perhimpunan berakhir dengan aman,” katanya.

Berita Harian X