Ahad, 4 November 2018 | 3:02pm

Pelajar dibelasah kerana enggan main catur

LAHAD DATU: Hanya kerana enggan melayan permintaan bermain catur, seorang pelajar lelaki tingkatan satu dibelasah tiga lelaki termasuk rakan sekelasnya di luar kawasan sekolah di Desa Kencana, kira-kira 110 kilometer dari sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa berusia 13 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang dari sekolah sebelum dipukul seorang rakan sekolahnya dan dua lagi rakan suspek.

Mangsa ditumbuk dan ditendang hingga jatuh menyebabkan dia mengalami lebam dan bengkak di dahi serta di bahagian kepalanya, selain sakit di pergelangan tangan kanan.

Susulan itu, mangsa mengadu kepada bapanya sebelum mereka membuat laporan polis.

Menurut sumber, sebelum kejadian, ketika berada di dalam kelas, suspek yang juga rakan sekelasnya memanggil mangsa untuk bermain catur namun tidak mempedulikannya menyebabkan suspek marah dan hendak memukul mangsa.

“Ketika dalam perjalanan pulang, suspek bersama dua lagi rakannya memukul mangsa,” katanya.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan suspek kemudian diberi kaunseling dan nasihat.

Berita Harian X