Rabu, 31 Oktober 2018 | 3:50pm
BEKAS Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad. - Foto Asyraf Hamzah

Shahrir tarik balik permohonan batal saman Synergy

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad hari ini menarik balik permohonannya untuk membatalkan saman fitnah berjumlah RM100 juta yang difailkan sebuah syarikat pemaju hartanah, Synergy Promenade Sdn Bhd berhubung isu tanah Felda.

Peguam Farah Shuhadah Razali, yang mewakili Shahrir selaku defendan memberitahu pemberita bahawa anak guamnya turut menarik balik permohonan untuk meminda penyataan pembelaannya dan pada masa sama Synergy Promenade menarik balik permohonan untuk membatalkan pembelaan defendan.

“Mahkamah kemudiannya membatalkan ketiga-tiga permohonan berkenaan tanpa sebarang kos dan menetapkan 7 Jan hadapan untuk pengurusan kes selanjutnya,” katanya selepas hadir pada pengurusan kes saman itu di dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Darryl Goon Siew Chye, dengan dihadiri peguam Chetan Jethwani bertindak bagi pihak Synergy Promenade.

Farah Shuhada berkata Chetan turut memberitahu mahkamah bahawa beliau baharu saja mengambil alih kes saman itu daripada peguam sebelumnya pada minggu lepas.

Shahrir, sebelum ini memohon untuk membatalkan saman itu atas alasan tuntutan saman difailkan plaintif (Synergy) tidak mengikut peraturan dan syarikat berkenaan tidak mempunyai asas untuk menuntut ganti rugi RM100 juta daripada defendan (Shahrir).

Synergy Promenade pula memohon untuk membatalkan pernyataan pembelaan Shahrir selepas mendakwa penyataan pembelaan yang difailkan Shahrir pada 6 Julai lepas, gagal memberikan butir-butir atau alasan mengapa kenyataan media telah dibuat terhadap SPSB.

Pada 4 Jun lepas, Synergy Promenade menyaman Shahrir, yang ketika itu Pengerusi Felda, atas dakwaan telah mengeluarkan beberapa kenyataan fitnah antara Disember 2017 hingga Mac 2018 yang disiarkan dalam beberapa media massa, laman sosial Facebook dan YouTube serta portal berita.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa kenyataan-kenyataan itu menyebabkan reputasi mereka tercalar selain mengakibatkan plaintif kehilangan projek yang sedang diusahakan.

Syarikat itu menuntut satu perintah injuksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula kenyataan itu serta ganti rugi RM100 juta, faedah, kos dan relief lain yang sesuai. – BERNAMA

Berita Harian X