Rabu, 31 Oktober 2018 | 9:37am
PENAGIH dadah digari selepas ditahan dalam operasi yang diadakan di kawasan pam air yang dijadikan sarang penagih melepaskan gian di Kubur Panjang semalam. - Foto BERNAMA

Tak dapat lari...motosikal terbenam dalam sawah

PENDANG: Tindakan sekumpulan lelaki disyaki penagih dadah cuba melarikan diri gagal selepas motosikal terbenam di kawasan sawah berdekatan Kubur Panjang, dekat sini, semalam.

Dalam operasi bermula jam 6 pagi hingga 4 petang itu, kumpulan lelaki terbabit dipercayai sedang melepaskan gian di kawasan rumah pam air sebelum mereka diserbu pihak polis.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah, berkata Ops Tapis Pendang itu dibahagikan kepada dua kawasan iaitu di Kampung Charok Kudung dan Pam Air Kubur Panjang yang didapati menjadi tempat penagih dadah melepaskan gian.

Katanya, seramai 26 penagih berusia lingkungan 20-an hingga 57 tahun ditahan di dua lokasi berkenaan ketika leka melepaskan gian.

“Sembilan lelaki ditahan di Kampung Charok Kudung, di mana enam daripadanya adalah penagih dadah, manakala tiga lagi didapati memiliki air ketum dan dadah.

“Tangkapan di Kubur Panjang pula membabitkan 17 lelaki di mana dua daripadanya memiliki dadah dan selebihnya adalah penagih,” katanya di sini, hari ini.

Arriz Sham berkata, turut dirampas 4.22 gram dadah dan satu liter air ketum yang keseluruhannya bernilai RM120.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun dan dan Seksyen 3(1) Akta Rawatan dan Pemulihan 1983.

Berita Harian X