Selasa, 30 Oktober 2018 | 12:06pm
REMAJA lelaki berusia 19 tahun ditahan polis di Taman Mahsuri, Padang Serai selepas sempat melaram motosikal Honda Ex5 yang dicurinya di sebuah bengkel kereta. - Foto NSTP/ihsan PDRM

'Baru nak melaram motosikal curi, dah kena tahan'

KULIM: Seorang remaja lelaki hanya sempat ‘melaram’ motosikal dicurinya kira-kira dua jam sebelum dia ditahan polis yang menjalankan Ops Lejang Khas 4 di Padang Serai, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, suspek berusia 19 tahun itu pada mulanya mencuri motosikal Honda EX5 itu di sebuah bengkel kereta di Kampung Permatang Tok Dik, Padang Serai sebelum pemiliknya menyedari kehilangan kenderaan itu pada jam 3 petang.

Menurutnya, kali terakhir mangsa yang juga pemilik bengkel kereta itu melihat motosikalnya pada jam 2 petang sebelum dia tampil membuat laporan polis berhubung kehilangan kenderaannya itu.

“Susulan laporan itu, anggota dari Balai Polis Padang Serai kemudian menjalankan Ops Lejang Khas 4 dan menahan suspek di tepi jalan Taman Mahsuri pada jam 4.20 petang.

“Malah ketika ditahan motosikal mangsa turut bersama suspek sebelum dirampas dan dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Ahmad Nasir berkata, siasatan awal, suspek mengaku terbabit dalam kejadian curi motosikal itu dan dia kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Berita Harian X