Selasa, 30 Oktober 2018 | 11:04am
ANGGOTA polis membawa dua suspek wanita menyewa pakaian pengantin yang dicuri dibawa ke Mahkamah Majistret Butterwoth, Pulau Pinang untuk mendapat tahanan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - Foto NSTP/Mikail Ong

Pencuri baju pengantin dicekup

KEPALA BATAS: Selepas lebih tiga bulan mencari pendapatan dengan menyewa pakaian pengantin yang dicuri, empat suspek diberkas polis dalam tiga serbuan berasingan di Seberang Jaya, Bayan Baru dan Taman Merbau, dekat sini, semalam.

Suspek masing-masing terdiri daripada pasangan suami isteri, seorang lelaki dan seorang wanita itu ditahan dalam Op Pintu yang dilakukan jam 12 tengah hari oleh sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara.

Semua mereka yang ditahan itu berusia 20 hingga 39 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pada 8 Julai lalu, seorang pemilik butik pakaian pengantin membuat laporan mengatakan premisnya di Lorong Seri Merbau, Sungai Dua, di sini dipecah masuk.

“Mangsa yang tiba di butiknya mendapati keadaan premis berselerak dan terdapat kesan umpil pada pintu kayu tingkat atas kedainya.


ANGGOTA polis membawa dua suspek lelaki (berbaju biru dan hitam) menyewa pakaian pengantin yang dicuri dibawa ke Mahkamah Majistret Butterwoth, Pulau Pinang untuk mendapat tahanan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - Foto NSTP/Mikail Ong

“Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM16, 000 selepas suspek melarikan pakaian pengantin miliknya,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini semalam.

Noorzainy berkata, susulan daripada laporan yang dibuat mangsa, polis berjaya menahan semua suspek di tiga lokasi berasingan dalam Op Pintu.

“Siasatan awal mendapati suspek yang juga pasangan suami isteri itu menyediakan khidmat sewa baju pengantin dan menjalankan perniagaan mereka di rumah.

“Dua lagi suspek iaitu seorang lelaki dan seorang wanita pula bertindak sebagai orang tengah dengan menjual barang yang dicuri kepada suami isteri terbabit,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati seorang daripada suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau.

“Semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth untuk direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

188 dibaca
Berita Harian X