Isnin, 29 Oktober 2018 | 8:52pm

Lagi kes liwat di Pulau Pinang

TASEK GELUGOR: Seorang tahanan reman mengadu dirinya diliwat rakan tahanan lain ketika berada di sebuah lokap Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dekat Kampung Selamat, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 4.07 petang itu, mangsa berusia 22 tahun dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk pemeriksaan sebaik dimaklumkan mengenai kejadian menimpanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Menurutnya, polis akan menjalankan koordinasi dengan pihak AADK untuk menjalankan tangkapan terhadap suspek apabila reman suspek di atas kesalahan kes dadah selesai.

“Suspek yang dimaklumkan tahanan ini sedang menjalani reman atas kesalahan dadah.

“Oleh itu, buat sementara waktu, polis mengarahkan supaya suspek diasingkan sel dari semua tahanan sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ini adalah kes liwat ketiga yang dilaporkan berlaku di Pulau Pinang sejak minggu lalu.

Kes pertama membabitkan seorang pengetua sebuah sekolah berusia 55 tahun yang didakwa meliwat dua murid berusia 11 dan 13 tahun.

Manakala kes kedua pula berlaku ke atas seorang remaja berusia 16 tahun yang melaporkan dirinya diliwat seorang pelajar Tingkatan Dua di sebuah tandas pusat sukan dekat Mak Mandin, di sini, Julai lalu.

Bagaimanapun, mangsa baharu melaporkan perkara berkenaan Selasa lalu selepas video liwatnya viral di laman sosial.

Noorzainy berkata, ketiga-tiga kes itu disiasat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan.

101 dibaca
Berita Harian X