Isnin, 29 Oktober 2018 | 12:50pm
Suspek tetak isteri (tengah) berjaya ditahan polis, di Kinabatangan. - Foto ihsan Pembaca

Lelaki tetak isteri hingga mati direman seminggu

KINABATANGAN: Lelaki berumur 31 tahun yang menetak isterinya hingga mati di rumah pekerja di Ladang Pintasan, kelmarin, direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat, berkata suspek yang ditahan jam 10.30 pagi semalam didapati negatif dadah namun dipercayai berkelakuan kejam terhadap isterinya kerana berang dituduh ada isteri lain kerana sering keluar malam.

Katanya, polis sudah menemui senjata disyaki digunakan suspek iaitu parang sepanjang 70 sentimeter dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Hasil siasatan lanjut, kejadian itu sebenarnya berlaku pada jam 8 malam kelmarin yang mana mangsa bukan sahaja bekerja sebagai pemungut biji sawit, malah penabur baja.

“Ketika kejadian, jiran mereka turut mendengar jeritan meminta tolong. Saksi kemudian sempat melihat suspek berusia 31 tahun yang juga suami mangsa dalam keadaan berlumuran darah sambil memegang parang.

“Motif kejadian dipercayai akibat perselisihan faham antara suami isteri di mana mangsa menuduh suaminya ada isteri lain kerana sering keluar pada waktu malam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa, Ira Sumang, 27, dipercayai berasal dari Makassar, Indonesia, ditemui mati dengan kesan tetakan di kepala, muka dan tangan dengan antara cebisan yang ditemui ialah tangan dan jari mangsa.

Difahamkan, anggota polis terpaksa memungut enam cebisan anggota badan mangsa selepas ditemui bertaburan di lantai ruang tamu dan dapur.

Berita Harian X