Isnin, 29 Oktober 2018 | 10:08am
Seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan polis malam tadi di Lorong Angsana 1 Taman Angsana Kulim selepas membelasah isterinya. - Foto ihsan PDRM

Tumbuk muka, tolak kepala isteri sebab dadah

KULIM: Hanya kerana menegur suaminya menghisap dadah syabu di dalam bilik menyebabkan seorang wanita lebam di muka dan kepala akibat dibelasah lelaki itu yang mengamuk di kediaman mereka di Taman Angsana, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa berusia 20-an bertengkar dengan suaminya, 28, selepas suspek menghisap dadah di dalam bilik tidur mereka.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, pertengkaran itu kemudian bertukar menjadi ganas apabila suspek bertindak menumbuk muka mangsa beberapa kali dan menolak kepalanya sehingga terhantuk di dinding.

Menurutnya, mangsa yang kesakitan dan bimbang dengan keselamatan diri kemudian keluar dari rumah itu serta berlindung di rumah ibu mentuanya di Sungai Limau, Lunas.

“Malah mangsa turut diugut akan dipukul lebih teruk jika masih mengambil tahu hal peribadi suspek.

“Bimbang dengan ugutan suspek, mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Kulim untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Ahmad Nasir berkata, susulan laporan diterima itu, pihaknya mengesan lelaki berkenaan sebelum menahan di kediamannya jam 11 malam.

“Dia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di mana siasatan awal dia mengaku terbabit dalam kejadian itu.

“Suspek akan direman pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

507 dibaca
Berita Harian X