Ahad, 28 Oktober 2018 | 3:38pm

Kedai perabot musnah dalam kebakaran

SEREMBAN: Sederet tiga rumah kedai menjual perabot di Taman Seremban Jaya di sini, musnah dalam kebakaran, pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 11.03 pagi.

Berikutan itu, katanya, seramai 21 pegawai dan anggota membabitkan lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Seremban dan Seremban 2 dengan bantuan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi.


. Anggota bomba berusaha memadam kebakaran tiga rumah kedai yang menjual perabot di Taman Seremban Jaya. - Foto Hazreen Mohamad

Keadaan tiga rumah kedai yang menjual perabot musnah dalam kebakaran di Taman Seremban Jaya. - Foto Hazreen Mohamad

“Kebakaran dipercayai bermula di lot tepi sebelum merebak ke dua unit bersebelahan. Kami mengambil masa hampir sejam untuk memadamkan kebakaran di ketiga-tiga lot kedai berkenaan.

“Hanya sebuah lot kedai musnah 100 peratus manakala dua lot masing-masing musnah 50 peratus dan 10 peratus. Kebakaran membabitkan barangan perabot dan tiada mangsa dilaporkan cedera,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Keadaan tiga rumah kedai yang menjual perabot musnah dalam kebakaran di Taman Seremban Jaya. - Foto Hazreen Mohamad
Berita Harian X