Jumaat, 26 Oktober 2018 | 7:55pm
Dua pemancing yang berjaya diselamatkan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam kejadian bot terbalik di Selat Dinding berhampiran Jeti Dalam, Tambatan Pangkalan Lumut. - Foto ihsan TLDM

Anggota TLDM berenang selamatkan pemancing jatuh laut

LUMUT: “Saya dengar sayup suara orang meminta tolong dan kemudian nampak objek putih yang seolah-olah tangan melambai dari laut,” kata Laskar Kelas Satu (LKI) Jamalul Hayat A Baser yang terjun ke laut menyelamatkan dua pemancing yang hampir lemas.

Jamalul Hayat, 26, adalah dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terjun ke laut dan berenang sejauh kira-kira 200 meter untuk menyelamatkan mangsa yang jatuh ke laut dan terpaksa berpaut pada bot yang rosak dipukul ombak di Selat Dinding, berhampiran Jeti Dalam, Tambatan Pangkalan TLDM Lumut di sini, jam 8 malam semalam.

Dia yang bertugas di Kapal Diraja (KD) Kasturi berkata, menyedari perkara itu dirinya terus ke KD Mahawangsa kerana mahu melihat dari tempat yang lebih tinggi untuk memastikan objek dilihat dalam keadaan gelap itu sama ada manusia atau hanya kayu yang hanyut di laut.

Menurutnya, sebaik memastikan ada mangsa di laut, dia terus memaklumkan kepada anggota lain sebelum membawa pelampung dan tali turun ke jeti dan terjun ke laut bagi menyelamatkan mangsa.

Katanya, seorang lagi anggota TLDM, Weltron Duanis dari KD Mahawangsa turut terjun dan berenang bersama membantu menyelamatkan mangsa.

“Saya terjun dulu sebelum Weltron dan dia juga bawa pelampung dan keadaan ketika itu gelap, malah arus juga agak kuat namun tiada hujan.

“Ketika itu dalam fikiran saya hanya mahu menyelamatkan mangsa sahaja biarpun agak penat kerana berenang sejauh kira-kira 200 meter,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Jamalul Hayat berkata, mengikut cerita mangsa, bot yang mereka naiki sudah dipukul ombak di Lumut dan mereka terpaksa berpaut pada bot yang dihanyutkan sehingga berhampiran jeti Pangkalan TLDM itu.

“Kami bersyukur semua selamat dan rsa penat terus hilang melihat mangsa selamat, malah mereka juga sempat mengucapkan terima kasih kepada kami atas bantuan itu.

“Ini pengalaman pertama saya membantu menyelamatkan mangsa di laut, sebelum ini pernah menyelamatkan dua mangsa hampir lemas di sungai di kampung,” katanya yang sudah lima tahun berkhidmat dalam TLDM.

Menurutnya, dia juga gembira dan terharu dengan sijil penghargaan yang diberikan Panglima Armada Barat TLDM, Laksamana Madya Datuk Mohamad Adib Abdul Samad selepas kejadian itu.

Katanya, dirinya menganggap apa yang dilakukannya itu atas dasar tanggungjawab melihat mangsa yang memerlukan bantuan dan bimbang jika dua lelaki itu terus dihanyutkan lebih jauh lagi.

Dalam kejadian jam 8 malam, mangsa, Mohd Izman Ibrahim, 35, dan Muhammad Zulhusni Mohamad, 25, diselamatkan dua anggota TLDM yang masing-masing berada di kapal dan jeti ketika kejadian berlaku.

Difahamkan, dua lelaki terbabit dari Ayer Tawar dan Seri Manjung ke laut untuk aktiviti memancing dan jarak lokasi kejadian dengan KD Mahawangsa yang berada di jeti dalam Pangkalan TLDM, Lumut kira-kira 200 meter.

83 dibaca
Berita Harian X