Jumaat, 26 Oktober 2018 | 7:15pm
JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memindahkan 11 penduduk termasuk kanak-kanak di Kampung Melayu, Sungai Buloh, hari ini. - Foto Ihsan/JBPM

Penduduk kampung tahan jentera bomba

SUNGAI BULOH: Penduduk Kampung Melayu di sini terpaksa menahan jentera bomba yang dalam perjalanan ke lokasi pokok tumbang, di Desa Bukit Indah, di sini, hari ini bagi membantu mangsa banjir kilat.

Tindakan itu bagi menyelamat 11 penduduk termasuk sembilan kanak-kanak yang menjadi mangsa banjir kilat di Lot 120C kampung berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Rizal Buang, berkata pihaknya menjalankan operasi menyelamat mangsa di kawasan kejadian yang mencatatkan paras air kira-kira satu meter, kira-kira jam 4.30 petang.

“Sebenarnya, kita menerima panggilan kecemasan khidmat khas pokok tumbang di Desa Bukit Indah kira-kira jam 4.03 petang.

“Dalam perjalanan ke lokasi itu, pasukan bomba diminta bantuan oleh orang awam di Kampung Melayu bagi membantu mangsa yang terkesan dengan banjir kilat.

“Saya dimaklumkan, kerja pemotongan pokok di Desa Bukit Indah diambil alih oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Selangor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berita Harian X