Jumaat, 26 Oktober 2018 | 3:01pm

Hukuman penjara, denda 3 anggota polis rasuah kekal

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM10,000 masing-masing terhadap tiga anggota polis atas pertuduhan meminta dan memperoleh rasuah wang tunai untuk melepaskan seorang warga Myanmar yang disyaki memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNCHR) palsu.

Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian selepas menolak rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang diperintahkan Mahkamah Sesyen ke atas Asisten Superintendan Mohamad Zafrul Zulkifli, 38, Lans Koperal Mohamad Hasirun Abu Hassan, 30, dan Lans Koperal Mohd Saffuan Mat Salleh, 32.

Dalam penghakimannya, Azman berkata, selepas meneliti rekod rayuan dan hujahan ketiga-tiga perayu, mahkamah mendapati sabitan bersalah oleh Hakim Mahkamah Sesyen adalah selamat untuk dikekalkan.

“Hukuman penjara 10 bulan dan denda RM10,000 atau penjara setahun yang dijatuhkan ke atas ketiga-tiga perayu juga tidak terlampau berat dan memadai dengan kesalahan yang dilakukan sebagai anggota polis yang terbabit dengan rasuah.

“Dengan itu rayuan ke atas sabitan bersalah dan hukuman ke atas mereka ditolak,” katanya.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan ketiga-tiga perayu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Zafrul dan Mohamad Hasirun masing-masing didakwa secara rasuah meminta untuk diri masing-masing daripada Kyaw Phone Naing, suapan iaitu wang tunai RM2,000 dan RM1,500 sebagai satu dorongan untuk melepaskan Nang Cherry yang disyaki memiliki kad UNCHR palsu.

Manakala Mohd Saffuan didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya daripada Kyaw, satu suapan iaitu wang tunai RM1,500 sebagai satu dorongan untuk melepaskan individu sama.

Ketiga-tiga anggota polis itu yang ketika itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di dakwa melakukan perbuatan itu di kawasan letak kereta di belakang sebuah hotel di Jalan Pudu, di sini pada jam 7.30 petang, 28 Januari 2016.

Bagi kesalahan meminta rasuah, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 manakala bagi kesalahan memperoleh rasuah, mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) akta sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nor Diana Nor Azwa, manakala Mohamad Zafrul dan Mohamad Hasirun diwakili peguam Mohd Shahrullah Khan.

Mohd Saffuan pula diwakili peguam Muhammad Nor Izzat Nordin.

84 dibaca
Berita Harian X