Jumaat, 26 Oktober 2018 | 1:58pm
KENDERAAN yang membawa Datin Seri Rosmah Mansor dan anaknya, Riza Aziz dan Mohd Norashman Najib, dilihat keluar selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat JSJK di Bangunan KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Rosmah selesai beri keterangan jam 1 tengah hari

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor dan anak-anaknya dilihat meninggalkan Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini pada jam 1.08 tengah hari selepas selesai memberi keterangan kepada polis berhubung siasatan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu yang hadir bersama dua anaknya, Riza Aziz dan Norashman, berada di bangunan itu yang menempatkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil selama lebih tiga jam.

Ketiga-tiga mereka yang tiba di situ pada jam 9.45 pagi turut ditemani dua peguam.

Rosmah sebelum ini dijadual memberi keterangan kepada Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Polis Diraja Malaysia semalam namun proses itu diminta ditangguhkan pada hari ini.

Pada 4 Oktober lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya berkemungkinan memanggil Rosmah bagi mengambil keterangan membabitkan pelbagai kes termasuk 1MDB.

Lebih 50 pengamal media yang terdiri daripada wartawan, jurugambar dan jurukamera memenuhi kawasan lobi menara itu bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.

Sebelum Rosmah dan anak-anaknya meninggalkan bangunan itu, turut kelihatan pelakon yang juga penyokong UMNO, Ellie Suriati Omar yang menunggu seorang diri berhampiran kumpulan pengamal media. - BERNAMA

20 dibaca
Berita Harian X