Khamis, 25 Oktober 2018 | 12:25pm

Kenapa lewat serah kertas pertuduhan - Isham

KUALA LUMPUR: Bekas pembantu khas Datuk Seri Najib Razak, Isham Jalil melahirkan rasa tidak berpuas hati kerana pihak pembelaan hanya menerima kertas pendakwaan sejam sebelum prosiding bermula.

Beliau turut menyelar Peguam Negara, Tommy Thomas kerana lewat menyerahkan kertas pendakwaan terbabit.

"Ini adalah satu perkara di luar kebiasaan. Pasukan pembelaan hanya dapat beberapa minit untuk menelitinya.

“Sebelum ini pasukan pembelaan menerima awal kertas pendakwaan dan itu amat memudahkan tugas mereka,” katanya ketika ditemui perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebelum ini memohon mahkamah ditangguhkan selama 30 minit kerana menerima kertas pertuduhan jam 8.55 pagi dan prosiding bermula jam 9.17 pagi.

Mengulas lanjut, Isham yang juga Presiden Sukarelawan Malaysia mendakwa, tindakan lewat menyerahkan kertas pendakwaan itu menyebabkan penyokong bekas Perdana Menteri terbabit tidak dapat berkumpul untuk menyatakan sokongan mereka.

Terdahulu, Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas enam tuduhan pecah amanah milik wang kerajaan berjumlah lebih RM6.6 bilion.

Najib, 65 dan Irwan Serigar, 61 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azman Ahmad.

71 dibaca
Berita Harian X