Khamis, 25 Oktober 2018 | 11:36am
KEADAAN motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 18, Jalan Gua Musang-Lojing, semalam. - Foto Ramli Ibrahim
KEADAAN kenderaan pacuan empat roda yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 18, Jalan Gua Musang-Lojing, semalam. - Foto Ramli Ibrahim

2 maut dirempuh pikap

GUA MUSANG: Dua warga asing maut apabila motosikal ditunggangi mereka dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 18, Jalan Gua Musang-Lojing, di sini, semalam.

Penunggang motosikal warga India yang identitinya belum dikenal pasti dan pemboncengnya warga Thailand, Master Sulaibeeb Abdulloh, 16, meninggal dunia di tempat kejadian.

Bagaimanapun, pemandu kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux, Tahir Zada, 36, yang juga warga Pakistan tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin, berkata nahas berlaku pada jam 6.30 petang ketika mangsa dalam perjalanan dari Kuala Betis menghala ke Gua Musang.

Beliau berkata, setiba di lokasi, penunggang motosikal itu cuba membelok ke kanan untuk memasuki simpang jalan kampung.

Berikutan itu, katanya, kenderaan pacuan empat roda yang dalam perjalanan dari arah sama tidak dapat mengawal kenderaan lalu merempuh motosikal dari belakang.

“Akibat pelanggaran, kedua-dua mangsa bersama motosikalnya diseret sejauh 20 meter menyebabkan mereka parah pada kepala dan badan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada kedutaan negara masing-masing untuk tindakan lanjut.

Kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

204 dibaca
Berita Harian X