Rabu, 24 Oktober 2018 | 5:03pm

Remaja 16 tahun diliwat pelajar Tingkatan Dua

BUTTERWORTH: Lagi kes liwat dilaporkan berlaku di Pulau Pinang dan kali ini membabitkan seorang remaja berusia 16 tahun yang menjadi mangsa dalam kejadian di sebuah tandas sebuah pusat sukan dekat Mak Mandin, di sini, Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata mangsa hadir ke balai jam 9.44 malam tadi untuk membuat laporan berhubung kejadian yang menimpanya selepas video insiden itu viral di laman sosial.

Katanya, mangsa yang sudah tidak bersekolah sejak berusia 12 tahun itu memberitahu dirinya diliwat seorang remaja lelaki hingga mengakibatkan suspek digantung sekolah.

“Mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk pemeriksaan lanjut oleh doktor pakar.

“Polis juga sudah menahan suspek berusia 14 tahun dan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan,” katanya.

Semalam, dua kanak-kanak masing-masing berusia 11 dan 13 tahun membuat laporan polis mendakwa diliwat pengetua lelaki berusia 55 tahun di sebuah sekolah menengah di Permatang Tok Jaya.

Mangsa mendakwa diliwat pengetua berkenaan ketika mereka menyertai satu program pendidikan di sekolah terbabit baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Mohd Jamil Mohamed, berkata pihaknya memandang serius berhubung salah laku seksual dalam kalangan warga pendidik.

Menurutnya, pihak jabatan sama sekali tidak akan bertolak ansur terhadap kes yang berlaku.

“Kita sudah ‘pool’ (diletakkan secara pentadbiran) pegawai ini di Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai sehingga kes ini selesai,” katanya.

Berita Harian X