Selasa, 23 Oktober 2018 | 2:04pm
MAYAT seorang bayi perempuan yang cukup sifat ditemui di tempat pembuangan sampah di Pasar Wakaf Zin, Tawang, Bachok, malam tadi. - Foto ihsan pembaca

Mayat bayi ditemui di tempat buang sampah

BACHOK: Mayat seorang bayi perempuan yang cukup sifat ditemui di tempat pembuangan sampah di Pasar Wakaf Zin, Tawang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.45 malam, mayat bayi berkenaan yang dibungkus dengan kain kuning ditemui seorang penduduk kampung.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Nik Aminuddin Raja Abdullah, berkata lelaki berkenaan mendakwa melihat seorang lelaki dan wanita bertengkar di kawasan pembuangan sampah sebelum dia mendekati pasangan itu.

Katanya, saksi memberitahu kedua-dua mereka kemudian bergegas melarikan diri dengan menaiki Perodua Myvi berwarna gelap.

“Saksi kemudian melihat satu bungkusan besar dengan kain kuning serta mengesyaki sesuatu sebelum membuka bungkusan dan terkejut apabila melihat mayat bayi perempuan cukup sifat.

“Polis dapati bayi itu masih bertali pusat dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Klinik Kesihatan Bachok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mayat bayi berkenaan di bawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk bedah siasat.

Nik Aminuddin berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyembunyikan kelahiran.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menyalurkan ke pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok atau menghubungi Inspektor Nor Afidah Mohd Ariffin di talian 09-7788222.

Berita Harian X