Ahad, 21 Oktober 2018 | 12:03pm

Hasrat beli iPhone tidak kesampaian

KUANTAN: Hasrat seorang penyelia di sini memiliki dua buah telefon pintar jenis iPhone Xs Max tidak kesampaian apabila ditipu seorang lelaki yang mengakibatkannya rugi RM10,490.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian pada 3 Oktober lalu berlaku apabila teman wanita mangsa menyatakan mahu membeli dua unit telefon jenis Iphone Xs Max yang diiklankan melalui aplikasi WeChat atas nama Scott.

“Mangsa yang berusia 20 tahun terus membuat pembayaran secara dalam talian dua hari kemudian akaun yang diberikan suspek berkenaan.

“Bagaimanapun sehingga kini Scott gagal dihubungi mangsa yang tidak mendapat telefon pintar seperti yang dijanjikan, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kelmarin,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Dalam kes berasingan, seorang peniaga berusia 40 tahun di sini terpaksa menanggung kerugian RM3,050 selepas diperdaya sindiket yang menawarkan pinjaman tidak wujud pada 4 Oktober lalu.

“Mangsa berminat membuat pinjaman wang berjumlah RM10,000 selepas melihat satu iklan di bawah syarikat Nova Sdn Bhd di laman sosial Instagram dan berurusan dengan seorang wanita.

“Wanita itu meminta mangsa menghantar salinan kad pengenalan dan bil elektrik melalui WhatsApp sebelum memaklumkan pinjamannya diluluskan dengan bayaran ansuran bulanan berjumlah RM169.05 selama tujuh tahun,” katanya.

Katanya, bagaimanapun untuk mendapatkan pinjaman berkenaan mangsa diminta membuat pelbagai bayaran termasuk untuk kos peguam, duti mahkamah dan cukai yang dibayarnya ke akaun diberikan suspek.

“Selepas membuat pembayaran berjumlah RM3,050 itu, mangsa diminta menunggu satu jam sebelum wang pinjaman diluluskan dimasukkan ke akaunnya.

“Namun sehingga kini wang pinjaman itu tidak dimasukkan dan dia membuat laporan di IPD Kuantan, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

73 dibaca
Berita Harian X