Sabtu, 20 Oktober 2018 | 12:05am

2 maut kemalangan

PERMAISURI: Dua termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 71, Jalan Kuala Terengganu - Kampung Raja, dekat Saujana di sini, petang tadi.

Kemalangan kira-kira jam 5.30 petang itu menyebabkan pemandu Perodua Kelisa, Ahmad Nazminuddin Lokhman, 18, dari Kampung Bukit Payung, Jertih, Besut, maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Seorang lagi mangsa yang juga penumpang kereta Proton Saga, Nur Raisyyah Rania Mohd Faizal, 3, beralamat di Taman Roselle, Kampung Rhu Rapai, Marang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Setiu jam 8.40 malam.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Ahmad Nazminuddin dari arah Jertih menghala ke Kuala Terengganu dilaporkan bertembung dengan Proton Saga dinaiki enam sekeluarga yang dipandu bapa Nur Raisyyah Rania dari arah bertentangan.

Ketua Polis daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris, ketika dihubungi berkata, kejadian menyebabkan Ahmad Nazminuddin dan tiga rakannya berusia antara 17 hingga 18 tahun tercampak keluar daripada kenderaan.

“Tiga rakan Ahmad Nazminuddin termasuk dua wanita hanya mengalami cedera ringan.

“Kejadian turut menyebabkan pemandu dan seorang penumpang Proton Saga cedera, manakala tiga lagi tidak mengalami kecederaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian keadaan jalan yang berselekoh basah kerana hujan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Sementara itu rakan Ahmad Nazminuddin, Mohamad Khairul Azhar Mat Raidin, 18, berkata mereka berempat termasuk dua rakan wanita berusia 17 dan 18 tahun, sedang dalam perjalanan dari Besut ke Kuala Terengganu untuk menonton wayang.

Dia yang mengalami cedera ringan berkata, sahabat baiknya sejak kecil itu bersikap pelik apabila beriya-iya mengajaknya ke Kuala Terengganu untuk menonton wayang.

“Sejak jam 8 pagi dia hubungi saya menerusi telefon, tetapi ketika itu saya sedang tidur dan tidak sedar panggilan dibuatnya berpuluh kali.

“Tidak cukup menghubungi saya, arwah hubungi adik dan ibu saya untuk bercakap dengan saya bagi memujuk untuk mengajak menonton wayang, tetapi saya enggan.

“Selepas solat Jumaat arwah beberapa kali menghubungi saya lagi mengajak menonton wayang dan akhirnya saya akur. Namun, sepanjang dalam kereta arwah hanya senyap, tidak banyak bercakap seperti biasa.

“Tak sangka sikap peliknya itu adalah petanda tidak baik. Kami berkawan dan rapat sejak kecil. Sudah tentu pemergiannya satu kehilangan besar buat saya,” katanya yang bekerja di kedai aksesori.

99 dibaca
Berita Harian X