Jumaat, 19 Oktober 2018 | 10:28pm
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat sedang melakukan operasi mencari mangsa dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus di Paya Terubong di sini. - Foto Mikail Ong
NENI Kurniati ditemui media di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang. - Foto Danial Saad

Konsulat Indonesia hulur bantuan kepada mangsa tanah runtuh

GEORGETOWN: Konsulat Hal Ehwal Indonesia di Pulau Pinang, Neni Kurniati mengesahkan tiga rakyatnya terbabit dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di sini, dengan mayat salah seorang daripadanya sudah ditemui

Bagaimanapun, katanya, dua lagi mangsa berasal dari Indonesia dilapor masih tertimbus dalam runtuhan terbabit.

“Kita sudah berjumpa dengan waris Samsul Asman, 19, mangsa yang jenazahnya sudah ditemui bagi mendapatkan dokumen untuk tujuan urusan penghantaran pulang jenazah.

“Waris juga sudah membuat pengecaman ke atas jenazah dan esok pihak hospital akan melakukan ujian DNA ke atas waris dan mangsa.

“Besar harapan kami jenazah dua lagi lelaki yang hilang di lokasi kejadian dapat ditemui dengan segera, termasuk mangsa lain,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah berjumpa dengan isteri kedua-dua mangsa yang masih hilang di lokasi kejadian runtuhan tanah terbabit, petang tadi.

“Kita hadir di sini (HPP) untuk membantu menguruskan proses dokumentasi untuk menghantar pulang jenazah Samsul,” katanya.

Suasana pilu menyelubungi perkarangan Unit Forensik HPP ketika waris hadir untuk proses pengecaman mangsa yang maut.

Mayat pertama iaitu Samsul tiba di Unit Forensik HPP kira-kira jam 6.20 petang, disusuli mayat warga Bangladesh dikenali sebagai Attirul, 35, pada jam 7 malam tadi.

Bapa kepada Samsul, Asman Ibrahim ,62, mengakui terkejut dengan kejadian terbabit, selain menjelaskan anaknya itu baru saja bekerja di kawasan pembinaan berkenaan.

"Saya sangat terkejut dengan berita kematian anak lelaki saya dan hanya dimaklumkan mengenainya selepas selesai solat Jumaat. Dia baru saja berkerja selama dua bulan di tapak itu.

"Ketika itu saya baru tiba di rumah saya di Paya Terubong dan melihat isteri saya sudah menangis menyampaikan berita kematian anak kami," katanya ketika ditemui pemberita di sini, petang tadi.

Sementara itu, rakan kepada Attirul yang hanya dikenali sebagai Jadir, turut dilihat hadir ke HPP untuk proses pengecaman mayat rakannya itu.

Berita Harian X