Rabu, 17 Oktober 2018 | 1:21pm
B. Gopi (dua dari kanan) bersama isterinya, R. Rajeswary (dua dari kiri) dan anak perempuannya, G. Tejassri beramah mesra bersama peguamnya Hussaini Abdul Rashid (kanan) selepas Mahkamah Tinggi Georgetown membebaskan dari kesalahan memiliki dan mengedar dadah di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang. - Foto NSTP/Mikail Ong

2 beradik terlepas hukuman mati

GEORGETOWN: Dua beradik terlepas hukuman gantung mandatori selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, melepas dan membebaskan mereka daripada tiga pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap B Gopi, 32, dan B Sasitharan, 25.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu secara bersama mengedar 70.87 gram (g) heroin dan monoacetyimorphines serta 42.14 g dadah sama, selain memiliki 6.35 g syabu.

Semua kesalahan itu dilakukan di No 27, Lorong Kijang 25, Taman Seri Kijang, Bukit Mertajam dalam daerah Seberang Perai Tengah, kira-kira jam 5 petang, pada 1 Ogos 2014.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama, boleh disabitkan mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, Seksyen 39A(1) ADB 1952.

Ahmad Shahrir dalam penghakimannya berkata, ia berikutan permohonan pihak pendakwaan mengemukakan rakaman percakapan saksi gagal dikesan yang ditolak mahkamah, sebelum ini.

“Permohonan pendakwaan ini tidak dibenarkan kerana langkah mengesan saksi ini hanya dibuat di peringkat akhir sambung bicara kes ini. Justeru kenyataan empat saksi ini tidak dibenarkan dimasukkan ke mahkamah.

“Seterusnya, dalam kes ini pihak pendakwaan tidak bergantung kepada soal siasat terhadap tertuduh, sebaliknya menggunakan situasi yang mana Gopi membawa polis ke kereta dan memberikan dadah yang ada di dalamnya,” katanya.

Beliau berkata, pihak pendakwaan juga gagal membawa pemilik kereta terbabit, selain mahkamah tidak boleh beranggapan semua barang dalam kenderaan itu adalah milik tertuduh.

“Ada kemungkinan ia kepunyaan pemilik atau pengguna lain kereta terbabit. Pendakwaan juga gagal menjelaskan perbezaan warna kereta yang dibawa ke mahkamah, berbanding hasil semakan dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Polis juga gagal memberi amaran kepada tertuduh ketika membawa dia ke kereta dan mengeluarkan dadah terbabit. Ini kerana, tertuduh ketika itu sudah berada dalam tahanan polis, sekali gus perbuatan ini tidak boleh diterima oleh mahkamah,” katanya.

Ahmad Shahrir berkata, mahkamah juga tidak boleh beranggapan dadah ditemui dalam rumah didiami kedua-dua tertuduh adalah milik mereka.

“Mahkamah mengakui situasi polis menemui dadah di meja makan dalam rumah didiami tertuduh, tetapi kediaman itu didiami empat orang dan semua mereka mempunyai akses untuk meletakkan dadah di tempat terbabit.

“Bagaimanapun, hanya dua daripada mereka dituduh dan oleh sebab itu mahkamah tidak boleh kata dadah terbabit kepunyaan mereka kerana ada orang lain yang ditahan tetapi tidak dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khalid Ab Karim, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Hussaini Abdul Rashid.

Berita Harian X