Rabu, 17 Oktober 2018 | 12:53pm

Rugi RM8,000 diperdaya Macau Scam

KUANTAN: Akibat terlalu takut dituduh terbabit dengan kes dadah dan penyelewengan wang haram berjumlah RM2.3 juta oleh sindiket Macau Scam, seorang anggota tentera kerugian RM8,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa sanggup menyerahkan nombor pin kad pengeluaran wang automatik (ATM) miliknya kepada sindiket berkenaan selepas takut dengan dakwaan sedemikian.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 3.34 petang semalam, mangsa berusia 37 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki kononnya pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bernama Megat Zainal Yaakub.

Katanya, suspek mendakwa mangsa mempunyai akaun Hong Leong Bank yang dibuka pada 9 Julai lalu dan beralamat di Nombor 48, Lorong Kingfisher Sulaiman 6, Kota Kinabalu, Sabah.

“Mangsa menafikan dia mempunyai akaun berkenaan sebelum panggilan berkenaan disambungkan ke polis Cawangan Bukit Aman dan bercakap dengan tiga lagi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis iaitu Koperal Hadi, Inspektor Mazlan dan Inspektor Mariah.

“Seorang daripada suspek mendakwa mangsa terbabit dengan kes pengedaran dadah dan penyelewengan wang haram luar dan dalam negara berjumlah RM2.3 juta.

“Mereka juga mengugut untuk menangkap dan menahan mangsa selama 45 hari serta ingin mendakwanya terhadap kesalahan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun, ‘Inspektor Mariah’ memberi jalan penyelesaian iaitu sekiranya mahu menyelesai kes itu mangsa perlu kosongkan akaunnya dan memindahkan semua wang simpanan ke dalam akaun perlindungan yang diberikan.

“Inspektor Mariah juga meminta mangsa memberikan 16 digit nombor pada kad ATM CIMB miliknya. Selepas itu mangsa ada menerima nombor TAC dan dia menyerahkan nombor itu kepada Inspektor Mariah.

“Tidak lama kemudian, wang daripada akaun miliknya berjaya dipindahkan ke dalam satu akaun bank yang lain berjumlah RM8,000. Mangsa diberitahu, wang berkenaan akan disemak dan dihantar ke bahagian kewangan,” katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas kejadian itu, mangsa langsung tidak menerima sebarang panggilan daripada suspek sebelum menyedari sudah ditipu oleh sindiket Macau Scam.

“Mangsa kemudian datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam untuk membuat laporan polis. Modus operandi suspek adalah dengan menyamar sebagai pegawai SPRM dan polis serta mendorong mangsa menyerahkan maklumat akaun bank sehingga mengakibatkan pengadu mengalami kerugian.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda,” katanya.

Berita Harian X